Jimat! Jom Buat Bunga Tangan Sendiri
Dalam kepercayaan masyarakat Barat, jika wanita bujang berjaya ‘menangkap’ bunga tangan yang dibaling pengantin perempuan dalam majlis perkahwinan, itu menandakan wanita tersebut bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Namun dalam masyarakat Melayu, penggunaan bunga tangan adalah sekadar simbol keceriaan dan kebahagiaan selain pelengkap busana pengantin yang disarung pada majlis perkahwinan.
Setiap wanita mestilah nak yang terbaik dan cantik dimajlis perkahwinan mereka. Bunga tangan juga antara list yang wajib ada untuk digayakan samada di majlis nikah atau resepsi perkahwinan. So, kami akan kongsikan antara bunga tangan yang cantik dan boleh dijadikan inspirasi untuk bakal pengantin.
Perkara yang perlu diambil berat sebelum membuat bunga tangan:
- Pilih bunga yang masih segar dan kembang.
- Pastikan anda beli bunga segar sehari sebelum majlis anda untuk pastikan kesegaran bunga itu.
- Selepas membeli, pastikan anda letakkan bunga bunga tadi pada suhu yang dingin untuk menjaminkan kesegarannya.
- Pastikan bunga tersebut direnjis dengan air dan masukkan separuh daripada batang bunga dengan air yang dingin.
Kebiasaannya setiap pengantin wanita akan memegang bunga tangan pada hari pernikahan dan juga semasa hari persandingan. Dengan adanya bunga tangan, ianya akan menjadikan pengantin perempuan lebih jelita dan menawan. Anda perlu ingat supaya memilih bunga tangan yang sama padan dengan baju perkahwinan anda.
Jika anda seorang yang kreatif, anda bolehlah membuat bunga tangan sendiri dan ini mungkin akan memberi kepuasan kepada anda dapat menghasilkan bungan tangan sendiri. Kalau anda ingin menggunakan bunga segar untuk bunga tangan anda, anda perlu memastikan bunga tersebut mendapat air yang cukup agar tidak layu.
Selain itu, pastikan juga semua bunga anda disimpan di dalam baldi besar semasa proses membuatnya. Di bawah, kami ada berkongsikan cara-cara untuk membuat bunga tangan pengantin.
Bahan-bahan yang perlu disediakan :
1. Bunga segar / plastik
2. Pita pelekat
3. Riben / tali
4. Gunting
Cara-caranya :
1. Pilih 2-4 kuntum bunga untuk dijadiakan sebagai tapak pada bunga.
2. Kemudian, lilitkan dengan menggunakan pita pelekat hijau supaya kedudukan bunga lebih kemas.
3. Tambah sedikit demi sedikit bunga sekeliling bulatan dan lilitkan lagi dengan pita pelekat.
4. Anda juga boleh menambah daun untuk menambahkan lagi seri pada bunga.
5. Jika anda telah berpuas hati dengan gubahan bunga, lilitkan bunga dengan riben untuk mencantikkan lagi jambangan bunga.