5 Sikap Perlu Elak Bagi Lelaki Yang Ingin Jadi Suami
Di sini kami kongsikan 5 sikap yang para suami harus berusaha untuk elakkan. Semoga menjadi panduan ke arah rumahtangga bahagia lagi penuh barakah.
1) Malas bekerja
Suami yang tidak berkerja ibarat barah dalam rumah tangga. Suami yang sepatutnya menggalas tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga dan menjadi pelindung untuk keluarga sebaliknya menjadi beban untuk isteri.
Di dalam keadaan ekonomi yang mendesak, suami yang tidak bekerja dan tidak menyumbang kepada ekonomi keluarga membuat si isteri hilang hormat pada suami. Ada sesetengah suami yang meminta isteri keluar bekerja dan mengambil alih tugas suami mencari nafkah untuk keluarga. Lebih malang lagi, ada yang sanggup memajak barang kemas isteri untuk memenuhi tuntutan keperluan si suami.
2) Lemah dan mudah putus asa
Ramai isteri mengharapkan suami menjadi tulang belakang dan pemimpin dalam keluarga. Tetapi malanglah sekira si suami bersifat lemah dan mudah berputus asa.
Lelaki seperti ini jarang mendapat tempat di dalam hati isteri dan anak-anak kerana mereka tidak boleh dijadikan ‘role model’. Lelaki yang mudah berputus asa juga membuatkan si isteri merasa tidak berguna kerana kehadirannya tidak mampu menyuntik semangat sang suami.
Maka seorang suami haruslah menunjukkan sikap tidak mudah berputus asa dalam menghadapi satu kegagalan dan kekalahan dalam hidup kerana isteri adalah orang yang sentiasa ada untuk memberi sokongan pada suami.
3) Bersifat pemarah
Orang yang pemarah ini sukar untuk bawa berbincang tambah pula semua benda kecil pun boleh membuatkan dia marah. Ketua keluarga perlu mampu berdepan dengan apa jua masalah secara berhikmah. Perasaan amarah itu perlu dikawal kerana suami merupakan imam keluarga.
Jika panas baran itu menyelubungi diri, perkahwinan akan cepat goyah dan isteri dan anak-anak juga akan merasa tidak selamat. Suami perlu bijak mengawal keadaan seperti berfikir dengan rasional, jangan cepat melenting, dan sentiasa bertolak ansur dengan pasangan. Isteri merupakan acuan dari suaminya, jika layanan suami kepada isteri bagaikan seorang permaisuri. Maka isteri juga akan melayan suaminya seperti Sang Raja.
4) Bersifat kedekut
Sebagai ketua keluarga, suami perlu menyediakan nafkah untuk anak isteri seperti pakaian, kediaman yang selamat dan makanan yang cukup. Dia perlu berhemah dalam berbelanja, bukannya kedekut. Dan menjadi tanggungjawabnya memastikan semua keperluan itu wajib dicukupkan.
Selalu juga kita diingatkan, jika suami bersikap pemurah kepada isteri dan keluarga, rezeki yang datang kepadanya juga akan melimpah ruah kerana berkat dariNya, insyaAllah. Isteri merupakan insan yang banyak berkorban untuk memberi kebahagian keluarga, Jadi apa salahnya bagi suami untuk menghargai isteri dengan membuat kejutan yang istimewa atau memberikan hadiah. Pasti sang isteri rasa dihargai dan semakin bertambah kasih sayangnya dalam hubungan.
5) Lelaki yang lupa Tuhan
Ini yang paling PENTING. Asas kebahagian rumah tangga adalah dari cinta pasangan kita kerana Allah. Bagaimana suami ingin menjadi pemimpin yang baik sedangkan hubungan dia dengan Allah tidak dijaga.
Suami yang tidak menunaikan solat, tidak berpuasa, tidak mengajak isteri menutup aurat, dan tidak mendidik keluarganya akan membuat rumahtangga sentiasa dalam keadaan yang kucar-kacir dan resah.
Perkahwinan yang berkat hasil dari hubungan kita dengan Allah. Agama merupakan nadi dalam hidup manusia, tanpa agama, maka matilah roh manusia itu. Suami yang baik adalah suami yang mendidik keluarganya berlandaskan al-Quran dan hadith.
Perkahwinan yang berkat hasil dari hubungan kita dengan Allah. Agama merupakan nadi dalam hidup manusia, tanpa agama, maka matilah roh manusia itu. Suami yang baik adalah suami yang mendidik keluarganya berlandaskan al-Quran dan hadith.
Cintakan Allah, maka Allah akan memberikan rahmatNya dengan hadirkan perasaan cinta dari isteri dan anak-anak.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak mengingatkan kita terutama mereka yang bakal menjadi suami, perihal sikap yang kita patut elakkan. InsyaAllah.