Idea Hantaran ' Cut Cost '


Tak perlu modal besar, Ini idea hantaran paling ‘cut cost’

Tak Perlu Modal Besar, Ini Idea Hantaran Paling ‘Cut Cost’


Sudah menjadi kelaziman bagi orang-orang kita ini, asal tentang hantaran mesti hendak beli barang-barang yang mewah. maklumlah, hanya sekali seumur hidup. Jadi, terpaksalah ‘bajet’ untuk mengubah hantaran itu tadi dikurangkan.
Apa yang menimbulkan masalah adalah, untuk mengupah orang membuat hantaran ini bukannya murah, adakalanya si pengubah akan meletakkan caj tinggi dari RM80 hingga RM100 untuk satu dulang. Mana pula kita hendak mencari wang andainya sudah terlanjur membeli barang hantaran idaman yang bukan calang-calang jenamanya. 

Hmm… mungkin ada sahaja pengubah yang mengambil upah murah, tetapi gubahan itu pasti ala kadar dan tidak menepati cita rasa kita betul tak? Untuk itu, kami nak kongsikan beberapa inspirasi gubahan hantaran yang simple dan boleh dibuat sendiri tanpa memerlukan sebarang kos upah. 

1. Tampi Berbunga


Ha… maklumlah zaman dah moden, mana ada orang menampi beras lagi sekarang ni kan? Makanya, penampi tu diubah menjadi dulang hantaran yang unik dan bersifat tradisional macam ni. Cantik juga! Nak naikkan seri dulang tu bolehlah gubah bunga sejemput dan letak pada bahagian sisi barang hantaran. 

2. Platform Gabus Beralas


Rasanya tak salah jika kita gunakan trend yang agak ‘ketinggalan zaman’ ni. Biarpun hanya menggunakan platform yang kemudian ditutup dengan alas berkerawang sebegini, ia masih boleh kelihatan berkelas andainya gubahan bunga dan warna yang dipilih itu nampak mahal. Gunakan dekorasi yang berasaskan rona-rona emas dan natural kerana palet warna sebegini mampu menebarkan aura mewah. 

3. Dulang Kayu Berbunga Pastel


Seperti yang kita tahu, ramai dalam kalangan wanita yang menggemari warna-warna lembut seperti pastel ini. Salah satu cara untuk menggunakan dulang kayu ringkas berwarna putih adalah dengan dekorasi bunga yang berwarna pastel.
Untuk membeli bunga tiruan yang kelihatan seperti bunga sebenar, anda boleh cari di SSF atau Kaison dan harganya yang berpatutan. Jangan lupa selitkan juga dengan simpulan riben organza untuk buat gubahan nampak mahal.

4. Bingkai Gambar Pengganti Dulang 


Jika mahukan kelainan, boleh jadikan bingkai gambar sebagai pengganti yang unik. Alas bahagian cermin bingkai (yang dijadikan tapak) dengan platform yang dibaluti kain jaring (tulle/net) atau kain satin sebelum menyusun barang hantaran di atasnya.
Untuk tambah cita rasa mewah, selitkan manik mutiara tiruan atau gubahan bunga comel yang kemudian diselit di beberapa bahagian.
Penutup kaca seperti di dalam gambar adalah pilihan. Nak tutup pun boleh kalau nak dibiar terbuka pun boleh juga.

5. Gubahan Bunga Kertas


Jika anda cukup kreatif, bolehlah membuat gubahan bunga yang diperbuat dariapda kertas ini sebagai penganti bunga plastik dan bunga segar. Pasti dulang atau kotak hantaran itu nanti nampak berseri. Kalau tak tahu caranya, tutorial untuk membuat bunga kertas ini ada banyak di Youtube. Setakat kertas berwarna tu berapalah sangat bajet yang perlu dikeluarkan, lebih daripada mampu betul tak?

6. Inspirasi Hamper


Penggunaan riben bertekstur amat penting untuk gubahan dulang sebegini. Selain diselitkan dengan gubahan bunga mewah, riben tersebut perlulah diikat menggunakan teknik empat arah seperti yang selalu diikat pada kotak hadiah. Sebagai hiasan, tutup dengan gubahan bunga di penjuru kotak.
Pada dasarnya, apabila membuat gubahan yang diinspirasikan daripada hamper ni, anda tak perlulah perah idea bagaimana nak susun barang kerana ia kemudian akan dikaburi dengan bunga dan riben.

7. Sangkar Burung ‘Pengantin


Kenapa pengantin? Sebab sangkar burung ini seolah memakai dress dan layah seperti pengantin perempuan. Anda balut sahaja sangkar burung yang sudah dipenuhi barang hantaran tu dengan kain jaring net atau tulle kemudian pada bahagian pemegang sangkar itu boleh diselitkan dengan bunga umpama flower crown.
Bahagian ‘pinggang’ sangkar juga boleh dibalut dengan lagi satu bahagian kain supaya gubahan tak nampak terlalu hambar. Seperti di dalam gambar, gunakan cincin kain yang lazimnya dipakai pada kain batik atau pario.
Nak lagi jimat?
Barang-barang gubahan seperti dulang hantaran dan item dekorasi tu anda boleh sewa dari penyewa yang membekal barang-barang hantaran. Di Instagram umunya, banyak pembekal perkakas perkahwinan yang menawarkan servis sewaan dulang serta item gubahan hantaran yang lain pada harga rendah. Ada  sewa dulang baru RM15 je seunit MURAH KAN? Tak perlu risau pasal bajet dah okay?!
Sewa je barang gubahan dan anda boleh DIY sendiri.